Perkara pertama didalam persediaan memulakan kempen adalah mengenalpasti ‘siapakah yang akan mengundi kita’ dan ‘siapa pula yang tidak akan memberikan undi kepada kita’. Kedua, kita perlu tahu mengapa mereka mengundi kita dan mengapa pula ada golongan yang tidak akan memberikan undi kepada kita. Pemimpin atau calon perlu menerima hakikat bahawa ‘kita tidak akan dapat undi semua orang’ atau ‘tidak semua orang akan memberikan undi pada kita’. Jadi menyasarkan kempen kepada bukan pengundi hanya membuang masa, tenaga dan budget yang ada.
Setelah kita jelas siapakah yang akan memberikan undi, kita juga perlu tahu dimana mereka ini berada. Ini adalah perkara yang mudah kerana kita boleh merujuk data yang lepas. Contohnya, daripada sumber data PRU-14 yang lepas, kita bakal mengetahui, Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan saluran mana yang memberikan undi dan PDM serta saluran mana yang tidak memberikan undi.
Apabila kita tahu siapakah yang akan mengundi kita dan dimana mereka berada maka, akan lebih mudah bagi kita untuk menyasarkan kempen dan aktiviti yang memberikan impak kepada golongan sasaran. Kita juga boleh memperincikan lagi data yang lepas dengan merujuk kepada etnik @ atau kaum kerana kita tahu di negara kita latar belakang calon terutama ‘bangsa’ memberikan impak yang sangat besar kepada jumlah undian. Kita tidak dapat menyangkal bahawa faktor kaum telah bertindak sebagai ‘mediator’ didalam pemilihan dan penempatan calon.
Faktor kaum ini tidak boleh kita nafikan kerana, bersandarkan data, ianya terbukti benar. Kajian yang dibuat oleh Mohd. Safar Hasim bertajuk “Ke Mana Arah Parti Pembangkang?” Kertas Seminar Politik Dan Pilihan Raya Di Malaysia – UKM, menyatakan “Parti-parti yang bertanding sering meletakkan calon mengikut asas majoriti kaum tertentu di dalam sesuatu kawasan pilihan raya. PAS hanya bertanding di kawasan majoriti Melayu, manakala DAP yang bertanding di kawasan Parlimen, hampir semuanya dikenalpasti sebagai kerusi yang mempunyai majoriti Cina”. Kajian ini bukan sahaja benar tetapi dibuktikan konsisten dengan dapatan terbaru apabila DAP pada Pilihan Raya Kecil ke-14, Teluk Intan, telah gagal mempertahankan kerusinya bila meletakkan calon Melayu.
Mari kita susuri isu ini dengan lebih dekat;
Pada tahun 2014, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.076 Barisan Nasional dengan calonnya Datuk Mah Siew Keong telah berjaya merampas kerusi Parlimen Teluk Intan dari DAP dengan memperoleh 20,157 undi dan menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud yang hanya mendapat 19,919 undi. Sebelum ini kerusi P.076 merupakan kerusi DAP yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng.
Strategy Lim Kit Siang (DAP) meletakkan setiausaha politiknya (Dyana Sofya Mohd Daud) sebagai calon tidak dapat mengatasi sentimen ‘perkauman’ yang ada walaupun sewaktu PRK tersebut kita tahu Parti PAS masih lagi bersama DAP dan PKR di bawah satu gabungan yang dipanggil “Pakatan Harapan”.
Kita juga tahu sewaktu PRK tersebut, pengundi-pengundi luar bandar terutama pengundi cina (10%) telah tidak pulang mengundi dan pengundi-pengundi atas pagar seramai lebih kurang 3.66% juga telah tidak keluar mengundi.
Merujuk data yang lepas juga, jumlah keluar mengundi pada PRU-13 (2013), ialah seramai 48,839 orang dan angka ini telah menunjukkan trend penurunan pada PRK (2014) kepada 40,668 (67.40%) orang. Dengan turunnya peratusan pengundi kepada 13.66% atau 8,171 orang ini, maka majoriti DAP sebanyak 7,131 undi telah tidak dapat dikekalkan.
Daripada segi data pula, kita tahu Parlimen Teluk Intan mempunyai 41.94% pengundi Cina, 38.61% (Melayu), 19% pengundi India, 0.18% pengundi Orang Asli dan 0.27% lain-lain. Data yang lepas juga menunjukkan pengundi India memberikan undi kepada calon DAP iaitu Manogaran A/L Marimuthu. Data-data ini sepatutnya memberikan kelebihan kepada DAP berbanding BN tetapi keputusan tetap tidak menyebelahi DAP.
Kesimpulannya daripada PRK, P.076 Teluk Intan adalah;
- Parlimen Teluk Intan dengan majoriti pengundi berbangsa Cina adalah kubu kuat DAP dan walaupun begitu, sentimen etnik telah mengatasi kepartian dan ini dibuktikan apabila DAP tetap tumbang di Teluk Intan bila meletakkan calon berbangsa Melayu pada PRK 2014 dan kembali menang besar serta merampas kerusi P.076 apabila meletakkan calon berbangsa Cina iaitu Ng Kor Ming.
- Komen-komen yang memberitahu kononnya Datuk Mah menang pada PRK 2014 disebabkan inisiatif kempen khidmat bakti dan faktor beliau adalah tokoh anak tempatan adalah tidak benar sama sekali, kerana pada PRU-14, ternyata Datuk Mah Siew Keong tewas dengan Ng Kor Ming, walaupun Ng Kor Ming bukanlah anak tempatan Teluk Intan.
- Sangkaan DAP yang menyusun strategi menifesto khas untuk pengundi muda dengan calon Melayu muda juga agak tersimpang jauh kerana faktor etnik nampaknya lebih menebal di Teluk Intan. PRU-14 menyaksikan garis perkauman dalam politik negara kita masih terlalu tebal.
Senario ini juga dapat dibuktikan, apabila kita mengambil data PRK-14, DUN Rantau. Daripada 14 Pusat Daerah Mengundi (PDM), Pakatan Harapan (PH) hanya menang 1 PDM sahaja iaitu di PDM Bandar Ekar yang mempunyai peratusan pengundi Cina tertinggi iaitu, 42.1 peratus dan pengundi India ketiga tertinggi di Rantau. Dengan ini terbuktilah latar belakang seperti etnik calon adalah antara pembolehubah yang memainkan peranan penting ketika meletakkan calon dan perlu diberikan perhatian.
Ringkasnya, beberapa faktor perlu diberikan perhatian iaitu;
- Siapakah pengundi yang akan memberikan undi dan siapakah yang tidak akan memberikan undi mereka ?
- Dari mana pengundi ini datang dan bagaimana untuk mendekati mereka ? Adakah kita benar-benar faham apakah keperluan dan kehendak mereka ?
- Apakah latarbelakang pengundi ini dan bagaimana sepatutnya untuk kita mendekati mereka ?
Hari ini politik ‘khidmat bakti’ tidak lagi memberikan impak kerana rakyat sudah tahu ini adalah ‘cheap sale’ sahaja. Politik khidmat bakti biasanya hanya dibuat apabila hampir PRU dan sebagai ‘gula-gula’ pillihanraya. Rakyat hari ini sudah celik matanya dan tahu membezakan diantara ‘sogokan atau keikhlasan serta umpan atau bantuan’. Tiga perkara ini mungkin nampak mudah tapi, ianya adalah antara faktor yang menentukan kekalahan atau kemenangan. Persoalan seterusnya yang patut difikirkan adalah, apakah strategi yang paling berkesan untuk mendekati mereka terutama diwaktu semuanya beralih ke ruang siber?. Sekiranya sebelum ini kita gagal mendekati mereka dengan ‘microphone dan speaker’, sudah pastinya akan lebih sukar apabila berada didunia maya.
RUJUKAN:
PARLIMEN TELUK INTAN:
Rujukan: http://pru14.spr.gov.my/#!/parliament/8/P.076
KEPUTUSAN PRU 12 (2008), PARLIMEN TELUK INTAN
Manogaran A/L Marimuthu (DAP): 18,486
Mah Siew Keong (BN): 17,016
KEPUTUSAN PRU 13 (2013), PARLIMEN TELUK INTAN
Seah Leong Peng (DAP) = 27,399
Mah Siew Keong (BN) = 20,086
DAP Menang Majoriti = 7,313 undi
Keluar mengundi = 80.70% = 48,839
KEPUTUSAN PRK PARLIMEN TELUK INTAN PADA 2014
Mah Siew Keong (BN) = 20,157 undi.
Dyna Sofya (DAP) = 19,919.
BN Menang Majoriti = 238 undi.
Keluar mengundi : 67.40% = 40,668.
KEPUTUSAN PRU 14 PARLIMEN TELUK INTAN PADA 2014
Ng Kor Ming (PH-DAP): 29,170 (43.9%)
Mah Siew Keong (BN-GERAKAN):17,991 (27.1%)
Ahmad Ramadzan Ahmad Daud (PAS): 6,494 (9.8%)
PH-DAP: Menang majoriti 11,179
Jumlah Pengundi:66,487
Keluar mengundi :54,601 (82.1%)